Falsafah Rig Veda Rig_Veda

Rig Veda dikatakan sebagai sumber segala ilmu dan idea-idea Vedanta termasuk jnana (ilmu) dan bhakti (cinta-Ilahi).

Rig Veda mengajar 'Eka Devata Vada' atau monoteisme dan bukannya politeisme. Namun, ia juga menyarankan Saguna Upasana (penyembahan Tuhan dengan rupa dan sifat).

Hanya Tuhan yang wujud sebelum ciptaan bermula. Tuhan adalah Pencipta, Pemelihara, dan Pemerintah dunia ini.[22] Tuhan mencipta dunia dari diri-Nya sendiri[23] dan memerintahnya.[24] Tuhan Maha Wujud,[25] Maha Mengetahui[26] dan Maha Berkuasa.[27] Tuhan ialah Kesempurnaan[28] dan Maha Pengasih[29] dan mudah dirapati oleh pemuja-Nya.[30] Tuhan juga adalah Sahabat Karib kita[31] dan Dia memberikan keabadian.[32]

Terdapat dua idea tentang ciptaan alam semesta, iaitu ciptaan dan evolusi. Kedua-dua idea ini juga didapati dalam teks-teks Vedanta kemudian.[33]

Roh adalah entiti yang abadi dan keabadian dikecapi. Matlamat hidup adalah untuk mencapai Tuhan.[34] Disebabkan dosa dan kehidupan yang jahat, manusia tidak dapat mendekati Tuhan. Maka, manusia perlu berdoa kepada-Nya untuk pengampunan,[35] untuk penebusan dosa, dan untuk mengikuti jalan kebaikan.[36]

Disiplin-disiplin rohani yang dapat membantu manusia merapati Tuhan adalah:

  • kepercayaan kepada Tuhan sebagai satu-satunya sokongan hidup[37]
  • doa untuk mengikuti jalan kebenaran[38]
  • doa untuk mendapatkan ilmu rohani sebelum tua[39]
  • doa untuk sentiasa berkhidmat kepada-Nya[40]
  • doa untuk perlindungan selama-lamanya[41]
  • bhakti atau cinta-Ilahi[42]
  • kedahagaan kuat untuk melihat-Nya[43]

Konsep Moksha atau kebebasan abadi yang dihuraikan dalam Upanishad, tidak ada dalam Rig Veda dalam bentuk yang sama.

Namun, wujud idea bahawa selepas kematian, badan fizikal terurai dan bersatu dengan lima unsur alam (bumi, air, api, udara dan angkasa). Selepas itu, roh menjadi bebas. Dewa Agni mengiringi roh melalui Jalan Dewa (Devayana) ke syurga yang diperintah oleh Yama. Roh akan hidup di syurga selama-lamanya dengan bahagia.